Mengapa Aliran Tunai adalah Nadi Perniagaan Anda

As'Salam dan Salam Sejahtera buat semua pembaca.Mulai hari ini perkongsian saya akan menjurus kepada kepakaran saya iaitu pengurusan kewangan peribadi dan IKS.Tajuk perkongsian pagi ini adalah mengenal Pengurusan Tunai perniagaan. Teruskan membaca...

 

Seperkara yang saya pelajari sepanjang menguruskan perniagaan dan membimbing ramai usahawan, adalah: Untung memang nampak cantik atas kertas, tapi Aliran Tunai lah yang menentukan hidup mati sesebuah perniagaan. Ramai pemilik perniagaan teruja bila nampak “Untung” dalam Penyata Kewangan, tapi panik bila tak cukup duit nak bayar gaji atau pembekal. Ini kerana untung cuma satu ukuran pada satu titik, tapi aliran tunai itu denyut nadi yang memastikan perniagaan terus bernafas hari demi hari.

 

Aliran tunai bermaksud pergerakan wang masuk dan keluar dari perniagaan kita. Bila lebih banyak duit masuk berbanding keluar, perniagaan kita berada dalam keadaan sihat. Tapi bila perbelanjaan melebihi pendapatan, itu tandanya masalah besar sedang menanti, walaupun di atas kertas, bisnes anda nampak menguntungkan. Ramai bisnes bungkus bukan sebab rugi, tapi sebab kekurangan tunai pada waktu yang salah.

 

Antara kesilapan biasa yang dilakukan oleh kita ialah menganggap jualan sama dengan tunai. Kita mungkin dah ‘close’ banyak jualan dan keluarkan invois, tapi kalau pelanggan lambat bayar, aliran tunai kita tetap tersekat. Sebab itu penting untuk urus kutipan bayaran dengan berkesan dan runding terma pembayaran yang lebih baik. Jangan hanya mengejar jualan, pastikan duit betul-betul masuk ke akaun kita.

 

Satu lagi masalah besar ialah perbelanjaan yang tak terkawal. Kadang-kadang jualan bagus, tapi duit sentiasa tak cukup sebab terlalu banyak dibelanjakan untuk perkara yang tidak bawa pulangan segera. Amalan aliran tunai yang baik ialah semak semula perbelanjaan secara berkala dan potong kos yang tidak perlu.

 

Masa juga memainkan peranan penting. Ramai bisnes tersepit kerana pendapatan dan perbelanjaan tak selari. Contohnya, sewa, gaji dan kos stok perlu dibayar sebelum bayaran pelanggan masuk. Merancang aliran tunai melalui unjuran dan sediakan tunai simpanan boleh bantu hadapi situasi ini. Ianya ibarat beri ruang nafas kepada perniagaan kita.

 

Akhir sekali, aliran tunai memberikan kebebasan. Bila tunai kita kukuh, anda boleh ambil peluang, runding harga yang lebih baik dengan pembekal, dan berkembang tanpa tekanan. Tapi bila tunai sempit, masalah kecil pun boleh jadi beban besar. Aliran tunai yang stabil memberi ketenangan kerana ianya memberi kita lebih masa, fleksibiliti dan kawalan.

 

Kesimpulannya, aliran tunai bukan sekadar istilah perakaunan, ianya adalah bahan bakar sebenar yang menggerakkan enjin perniagaan. Sebagai usahawan, jangan kita terlalu leka hanya mengejar jualan atau untung tanpa perhatikan duit yang benar-benar bergerak. Pantau aliran tunai kita, dan bisnes kita akan lebih kuat untuk berkembang.

 

Teruskan berjuang, kawan -kawan…

 


Kamaruzzaman Bin Kamaludeen (Coach KK) juga menjalankan sesi "1 to 1" dengan usahawan untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang seterusnya.

Tuan /Puan yang memerlukan bantuan nasihat perniagaan boleh menghubungi saya (Kamaruzzaman Kamaludeen ) untuk bantuan ditalian 019- 445 6669.


Comments

Popular posts from this blog

Cara Membina Budaya Perniagaan yang Kukuh

Menguruskan Ego kita dalam menguruskan Perniagaan